Home Pertahanan dan Keselamatan APMM gagalkan cubaan seludup 750 kg daun ketum ke Thailand

APMM gagalkan cubaan seludup 750 kg daun ketum ke Thailand

by Air Times News Network

KUALA KEDAH, 5 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar 750 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand menerusi jalan laut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pasukan telah menahan sebuah bot fiber di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Kedah pada jam 4.00 pagi, semalam.

“Pihaknya telah mengesan bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan ditinggalkan di tepi muara,

“Hasil pemeriksaan ke atas bot telah menemukan 75 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 750 kg dan bernilai sekitar RM135 ribu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70 sahaja.

“Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM198 ribu itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!