KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menggesa agar sidang khas Parlimen diadakan segera sebelum 9 Ogos ini
Ahli- Ahli pembangkang dalam kenyataan bersama berkata, tindakan tersebut adalah selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), iaitu bagi membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, mereka tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September depan.
“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen,
“Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak COVID-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu, dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh 3 pemimpin utama Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).
Turut sama dalam kenyataan itu adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA) dan Maszlee Malik (BEBAS).
Justeru, mereka berpendirian bahawa usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan segera sekali gus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri. -airtimes.my