Home Pertahanan dan Keselamatan Raja Mohamed Affandi dilantik Pengerusi LTAT yang baharu

Raja Mohamed Affandi dilantik Pengerusi LTAT yang baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pelantikan Pengerusi baharu, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkuat kuasa 3 Ogos 2021.

LTAT dalam satu kenyataan berkata, Raja Mohamed Affandi menggantikan Jeneral (Bersara) Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

“Raja Mohamed Affandi pernah menyandang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016,

“Beliau bersara pada tahun 2018 setelah menabur khidmat bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 42 tahun,

“Sebelum menerajui ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-25 pada tahun 2013,” katanya.

Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan ketenteraan dan diplomasi ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Staf Markas ATM dan Panglima Medan Tentera Darat.

Raja Mohamed Affandi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan (Australia) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik (Pakistan).

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Rahman berkata, LTAT mengalu-alukan kedatangan Raja Mohamed Affandi sebagai Pengerusi LTAT yang baharu.

“Dengan pengalaman beliau dalam kepimpinan ketenteraan, beliau membawa bersama tradisi kepimpinan yang efektif yang akan memandu LTAT dalam perjalanan transformasi menjadi sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Nazim berkata, Pengerusi LTAT terdahulu iaitu Zahidi telah memainkan peranan yang amat penting dalam memberi pandangan serta hala tuju untuk pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang baik serta memainkan peranan besar dalam menyumbang buah fikiran dalam proses merangka Pelan Transformasi LTAT.

“Jasa Zahidi memimpin dan membimbing Lembaga serta barisan pengurusan kanan dalam pelbagai inisiatif selama ini amat dihargai,

“Saya mewakili warga LTAT, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas segala khidmat bakti serta kebijaksanaan Zahidi sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengerusi kami,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!