Home PolitikPakatan Harapan Mustahil Muhyiddin masih ada sokongan majoriti – Blok pembangkang

Mustahil Muhyiddin masih ada sokongan majoriti – Blok pembangkang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Blok pembangkang mempersoal kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, mereka menegaskan bahawa akan kekal dengan pendirian untuk menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersama Ahli-Ahli Parlimen Tuaran (UPKO), Simpang Renggam (Bebas), Selangau dan Sri Aman (PSB) menegaskan bahawa kami tetap menolak kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin,

“Adalah mustahil Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen kerajaan semalam,

“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan,”jelas kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Turut sama dalam kenyataan tersebut, adalah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (PSB), Datuk Masir Kujat (PSB) dan Maszlee Malik (Bebas).

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bersedia menghadapi usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, bulan depan.

“Melalui cara ini (usul percaya), kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam perutusan khas.

Semalam, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan balik sokongan UMNO dari Kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Zahid turut mendesak agar Muhyiddin dan barisan jemaah Menteri untuk meletak jawatan secara terhormat.

Tambahnya, surat akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!