Home Semasa PKPD Bukit Malut: 83 positif, 806 dikuarantin

PKPD Bukit Malut: 83 positif, 806 dikuarantin

by Bernama

ALOR SETAR, 3 Ogos — Seramai 83 penduduk di Kampung Bukit Malut, Langkawi disahkan positif COVID-19 melalui hasil ujian saringan yang dilakukan sejak penempatan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai 27 Julai lepas sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata jumlah itu adalah daripada 186 orang yang disaring setakat ini, dengan 16 disahkan negatif dan diberikan arahan kuarantin sementara 87 lagi masih menunggu keputusan makmal.

“Seramai 806 orang telah diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. Satu kematian di rumah telah dilaporkan di kawasan PKPD Kampung Bukit Malut dan disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Kampung Bukit Malut dianggarkan didiami seramai 4,000 penduduk dengan penempatan kejiranan yang penuh dan rapat meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduk.

Seramai 200 penduduk disasarkan untuk saringan setiap hari dan usaha sedang dilakukan bagi memanggil penduduk yang bergejala untuk melakukan ujian saringan itu.

Sementara itu, Dr Othman berkata pemberian vaksin secara jumpa terus atau walk-in bagi warga emas akan dilaksanakan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam Kedah, mulai esok.

Tawaran terbuka kepada individu yang berusia 60 tahun ke atas sama ada belum mendaftar sebagai penerima vaksin atau telah mendaftar, tetapi masih belum mendapat tarikh janji temu.

“Mereka boleh datang ke PPV awam berdekatan atau menghubungi bilik gerakan vaksin daerah bagi tujuan vaksinasi. Sasaran kita adalah untuk memastikan semua penduduk yang berumur 60 tahun ke atas ini dapat divaksinasikan,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!