KOTA KINABALU, 3 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited membantu kerajaan dalam usaha membentung penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.
ATM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, Markas Lima Divisyen Infantri Malaysia (5 Div) telah mengaturgerakkan anggota dan asetnya dalam melaksanakan pemasangan concertina wire bagi menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semalam.
“Pasukan Rejimen Ke 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) dan 5 Kompeni Kor Perkhidmatan Diraja (5 KPD) telah diaturgerak bagi membantu pemasangan pagar kawat duri di Kampung Telipok Ria, Tuaran dan Kampung Bariawa Laut, Keningau, Sabah,” katanya.
Pemasangan kawat duri tersebut adalah berikutan keputusan kerajaan yang melaksanakan PKPD bermula 30 Julai hingga 12 Ogos di Kampung Telipok Ria Tuaran.
Manakala, PKPD di Kampung Bariawa Laut, Keningau pula dikenakan bermula 1 hingga 14 Ogos depan.
Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelaksanaan PKPD ini dibuat setelah Mesyuarat Khas Majlis Keselamat Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan tersebut. -airtimes.my