KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ahli-ahli Dewan Negara Pakatan Harapan (PH) menyatakan kekesalan apabila persidangan Dewan Negara yang sepatutnya bersidang hari ini hingga 5 Ogos telah ditangguhkan.
16 Ahli Dewan Negara PH dalam satu kenyataan bersama berkata, penangguhan tersebut dibuat dengan notis pendek tanpa mengikut peraturan mesyuarat Dewan Negara yang betul.
“Kami juga dimaklumkan bahawa hampir semua Ahli Parlimen termasuk Ahli Dewan Negara dan kakitangan telah menerima 2 dos vaksin yang melayakkan Herd Immunity dicapai di kawasan Parlimen,
“Berdasarkan fakta tersebut, kami berpendapat Dewan Negara adalah selamat untuk bersidang,” katanya.
Pada Ahad, menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Negara menerima makluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai 2021 yang memutuskan supaya persidangan mesyuarat khas bagi Dewan Negara ditangguhkan selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
Penangguhan ini dibuat selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19 di kawasan Parlimen Malaysia.
16 Ahli Dewan Negara PH adalah Senator Raj Munni Sabu; Senator Datuk Theodore Doughlas; Senator Datuk Ismail Yusop; Senator Dr Yaakob Sapari; Senator Datuk Donald Peter Mojuntin; Senator Datuk Husam Musa; Senator Mohd Yusmadi Mohd Yussof; Senator Manolan Mohamad; Senator Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid; Senator Dr Ahmad Azam Hamzah; Senator Lim Hui Ying; Senator Nga Hock Cheh; Senator Alan Ling Sie Kiong; Senator Adrian Banie Lasimbang; Senator Kesavadas Achyuthan Nair dan Senator Suresh Singh.
“Kami menjungjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa Parlimen bersidang bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat berkaitan,
“Sebagai Ahli Dewan Negara yang merupakan Dewan Legislatif tertinggi, kami bersetuju dengan titah Seri Paduka Baginda bahawa pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat oleh pihak kerajaan secara tidak telus,
“Pembatalan tersebut tanpa melalui kedua-dua dewan serta mendapat perkenan Agong adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan,” ujarnya.
Pada masa sama, 16 Ahli Dewan Negara menyatakan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan sikap derhaka yang ditunjukkan oleh kerajaan yang membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong dan majlis Raja-raja.
“Kami percaya Dewan Negara yang berfungsi sebagai semak dan imbang proses legislatif di negara ini perlu bebas daripada cengkaman pihak eksekutif yang tidak menghormati sistem demokrasi Parlimen dabn Raa berperlembagaan seperti yang diperuntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas mereka. – airtimes.my