PONTIAN, 1 Ogos – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menahan 2 lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) disekitar Jalan Parit 1/53 B, Pantai Teluk Kerang, pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Benteng yang dilakukan Batalion 5 PGA bersama D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 10.00 malam.
“2 lelaki transporter yang ditahan itu berusia 43 hingga 44 tahun, 3 lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia dalam lingkungan 29 hingga 46 tahun,
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM924, 3 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dan Perodua Nautika yang digunakan dalam sindiket tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dimin berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku telah memasuki negara ini melalui jalan laut dan mendarat di Pantai Telok Kerang yang kemudiannya akan dihantar oleh kedua-dua transporter tersebut ke destinasi masing-masing.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM52,524. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut,
“Kes disiasat dibawah Seksyen 26(a) Akta Atipsom 2007, Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” ujarnya. – airtimes.my