Home Ekonomi Hab tenaga Serba Dinamik Bintulu sedia pacu pertumbuhan ekonomi negara tahun 2022

Hab tenaga Serba Dinamik Bintulu sedia pacu pertumbuhan ekonomi negara tahun 2022

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Hab Integrasi Tenaga Bintulu (Bintulu Integrated Energy Hub, BIEH) di Sarawak mampu untuk menghadapi situasi tidak menentu ekonomi akibat COVID-19.

Pemilik BIEH dan Pengarah Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan hab terus berkeupayaan tinggi untuk jangka panjang.

“Walaupun kita sedang menghadapi cabaran COVID-19, operasi pihak kami kekal utuh dan mampu untuk beroperasi pada kapasiti penuh,

“Pada masa yang sama, kami turut mematuhi dan memenuhi kriteria prosedur operasi standard yang diarahkan oleh pihak kerajaan,” kata Abdul Karim yang dipetik oleh media tempatan berbahasa Inggeris.

Menurut beliau, BIEH mempunyai 1,239 pekerja dan berkerja mengikut kitaran masa yang telah ditetapkan.

Tambahnya, BIEH telah menerima lebih RM640 juta kontrak dari pelbagai klien termasuk Shell, Petronas, Samalaju Port, ABP, dan Nippon Oil.

“Kami turut menjangka untuk mendapatkan tambahan kontrak sebanyak RM 1 bilion bagi membantu kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2022,” ujarnya.

BIEH merupakan fasiliti berkeluasan 30 ekar di Tanjung Kidurong, Bintulu. Fasiliti ini akan menempatkan bahagian senggaraan, pembaikan dan baikpulih (MRO) serta pemeriksaan.

Fasiliti ini turut memainkan peranan dalam melaksanakan kerja-kerja baikpulih berkaitan industri minyak dan gas di Bintulu.

Jelas Abdul Karim, BIEH akan memenuhi keperluan industri minyak, gas dan bekalan tenaga di negeri Sarawak. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!