[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ZTuPlQve32g[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Sekretariat Solidariti Rakyat hari ini menganjurkan perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ bermula dari Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Masjid Jamek dan berarak menuju ke Dataran Merdeka.
Jurucakap Sekretariat Solidariti Rakyat, Asraf Sharafi Mohammad Azhar berkata, perhimpunan aman ini menuntut 3 perkara iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, meminta untuk Parlimen dibuka sepenuhnya dan moratorium automatik tidak terhad kepada rakyat Malaysia.
“Kita juga hari ini ada 3 deklarasi iaitu pertama anak muda akan terus memperjuangkan keadilan sosial untuk semua rakyat jelata,
“Kedua, anak muda akan terus mempertahankan demokrasi berparlimen sebagai platfom kepada suara rakyat terbanyak dan bukannya kepentingan mana-mana pihak,
“Ketiga, anak muda akan terus mempertahankan lunas-lunas demokrasi dan hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama mahupun warna kulit,” katanya kepada media di sekitar Dataran Merdeka, hari ini.
Beliau berkata, anak muda kini telah bangkit turun ke jalan raya bagi menyuarakan tuntutan kepada kerajaan.
“Hari ini, anak muda memang betul-betul marah dengan kerajaan dan turun ke jalan raya, walaupun ada sekatan di jalan raya dan diskriminasi daripada pihak polis,
“Kami telah disoal siasat lebih dari 30 kali secara berasingan dari hari Isnin sehingga Khamis lepas,” ujarnya.
Menurut Asraf Sharafi, walaupun demikian, anak muda tidak akan berputus asa untuk terus bangun membantah serta mengkritik kerajaan sekiranya mereka membuat silap tanpa mengira parti politik.
Tambahnya, Sekretariat Solidariti Rakyat dan anak muda akan berbincang mengenai langkah yang perlu diambil sekiranya Muhyiddin dan barisan kabinet tidak meletak jawatan.
“Kita akan umumkan pada masa terdekat langkah berikutnya,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata rancangan untuk menggadakan perhimpunan di Dataran Merdeka adalah untuk membuat perhimpunan secara aman dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) COVID-19 iaitu penjarakan fizikal antara peserta himpunan.
“Perancangan kita adalah Dataran Merdeka, sebab disitu adalah luas dan kita boleh mengadakan penjarakan fizikal serta menyatakan pandangan secara aman,” jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abdul Hadi berkata, anak muda telah menunggu lama untuk menyuarakan 3 tuntutan ini kepada kerajaan.
Katanya, jika kerajaan tidak mendengar suara rakyat dengan terus menggunakan aparat kerajaan untuk menekan mereka yang bersuara, akan ada lagi himpunan yang lebih besar selepas ini.
“Mereka (kerajaan) perlu segera mendengar rintahan daripada rakyat dan jangan tutup telinga,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau mahu pihak kerajaan dan Menteri menunjukkan tingkah laku yang baik kepada rakyat dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP)
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin telah gagal dan mereka perlu untuk meletakkan jawatan serta undur dengan segera,
“Berikan semula kuasa kepada Parlimen untuk melantik sebuah kerajaan yang baharu,” ujarnya. – airtimes.my
Galeri gambar: