[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=UroMgHe-UTs[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 30 Jul – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sengaja dan terancang telah menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen.
Ketua Kordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansur Amer Mohd Isa berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti mana diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membatalkan Ordinan Darurat yang belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
“Bagi kami tindakan begini satu bentuk penderhakaan kepada Agong, bahkan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan,
“Atas penderhakaan ini kami mencadangkan beberapa perkara untuk pertimbangan Tuanku agar menjadi pelajaran kepada rakyat di masa akan datang,” katanya kepada media selepas Penyerahan Memorandum Rakyat Malaysia 7.0 ke bawah duli Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di Pintu 3 Istana Negara, hari ini.
Beliau yang mewakili 36 NGO berkata, tindakan tegas mesti diambil kepada barisan Kabinet PN yang terlibat secara langsung atau tidak.
“Gabungan NGO juga berharap Seri Paduka Baginda agar memecat perancang utama penderhakaan ini antaranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob; Menteri-Menteri Kanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dan Datuk Seri Azmin Ali,
“Turut digesa adalah Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Datuk Mohd Rashid Hasnon,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan tegas juga mesti dikenakan kepada seluruh Kabinet PN yang terlibat secara langsung maupun tidak langsung dalam perancangan penderhakaan ini hingga membenarkan usul ini dalam mesyuarat Kabinet mereka.
“Kesemua mereka mesti dikenakan tindakan undang-undang yang berlaku dan meletakkan jawatan secara terhormat serta merta,
“Memohon agar Tuanku memastikan proses pelantikan Perdana Menteri baru melalui sistem sokongan majoriti di Parlimen yang bersesuaian dengan prinsip sebuah negara demokrasi berparlimen,
“Sebarang bentuk manipulasi politik tidak bermoral dalam perlantikan Perdana Menteri mesti dipastikan tidak berlaku lagi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen akan mampu membawa Malaysia keluar dari kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan dalam masa terpantas.
“Kami akan setia berada di belakang Tuanku dan ikut serta dengan dekat untuk memastikan proses ini berlaku demi negara tercinta,
“Kami juga amat berharap agar ketegasan Tuanku memberi pengajaran kepada semua Ahli Parlimen memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,
“Komitmen ini juga seiring dengan dasar dan matlamat badan NGO kami untuk sentiasa memelihara, menjunjung dan membela Institusi Raja-Raja Melayu bersesuaian dengan prinsip Raja Berperlembagaan,” tegasnya. – airtimes.my