SUNGAI PETANI, 30 Jul – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 288,400 batang rokok seludup bernilai RM230,070 selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Kampung Pekan Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, semalam.
Pemangku Komander Polis Marin Wilayah 1, Supt Shoppri Saad berkata, pemeriksaan itu dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Marin Batu Uban dalam Op Kontraban berjaya meramas sebanyak 1,442 karton rokok pelbagai jenama.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan telah berjaya menemui hampir 30 peti rokok disyaki tidak dibayar cukai,
“Jumlah rampasan rokok seludup pelbagai jenama berkenaan adalah sebanyak 1,442 karton bersamaan 288,400 batang rokok. Nilai rampasan bagi operasi kali ini dianggarkan lebih kurang RM230,070,
“Turut ditahan seorang lelaki berusia 17 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM hari ini.
Menurut Shoppri, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Sek 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Selain itu, beliau berkata, pasukan PPM Wilayah 1 meliputi kawasan daripada Perlis hingga ke Selangor telah melakukan beberapa siri tangkapan dibawah Op Kontraband yang dilaksanakan bermula 1 April yang lalu.
Sehingga kini, lebih 5 juta batang rokok seludup telah dirampas pihaknya dalam misi mengekang aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup. – airtimes.my