Home Semasa Kenyataan balas Muhyiddin angkuh dan biadab terhadap Agong

Kenyataan balas Muhyiddin angkuh dan biadab terhadap Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jul – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, iaitu menderhakai Perlembagaan Persekutuan serta sistem demokrasi berparlimen.

Majlis Presiden PH menjelaskan, tindakan tersebut ibarat menegakkan benang yang basah dan tidak menghormati sistem Raja Berperlembagaan dengan mempertikai titah Seri Paduka Baginda.

Menurutnya, pemerintah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi menunjukkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Majlis Presiden PH mengecam kenyataan PMO semalam yang terus berusaha menegakkan benang yang basah dan menderhakai sistem Raja Berperlembagaan dengan mempertikai titah Diraja, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di dalam kenyataan media Istana Negara semalam,

“Perkara pokok adalah kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, yang berkata bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai,

“Walau bagaimanapun, kenyataan Istana Negara semalam jelas menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut, dan Takiyuddin telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan bersama itu telah ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan seluruh Kabinet telah hilang keabsahan kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat serta kelayakan sebagai pemimpin kerajaan.

“Perdana Menteri dan Menteri gagal menjunjung titah Tuanku agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputus untuk diungkaikan di Parlimen,

“Seterusnya, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, Peguam Negara juga telah gagal menjalankan tugas rasminya untuk memberi nasihat perundangan kepada Seri Paduka Baginda secara neutral dan bebas tanpa memihak kepada Muhyiddin.

“Sepanjang sidang khas Parlimen ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga telah mempertahankan hak Kerajaan PN untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas setiap Ordinan Darurat untuk dibatalkan,

“Lebih mengecewakan lagi, semalam di Parlimen beliau telah menggunakan pelbagai alasan dan helah untuk mengelak dari perkara ini dibahas dan diputuskan dengan menempohkan sidang sebanyak 4 kali,

“Termasuk atas alasan semua yang berada di Parlimen perlu menjalani ujian saringan COVID-19 walaupun tidak wujud sebarang kluster Parlimen,” ujarnya.

PH menegaskan, Muhyiddin, seluruh Jemaah Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara harus meletak jawatan secara terhormat atas kesalahan besar mereka.

“Muhyiddin perlu meletak jawatan sepertimana yang terkandung di dalam kenyataan Istana Negara semalam, iaitu ‘permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen,

“Kenyataan bercanggah serta mengelirukan diumumkan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,

“Kalau inilah yang diperlakukan Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN terhadap Seri Paduka Baginda, apalagi terhadap Rakyat,” tambahnya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua ordinan, walhal belum lagi diperkenan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat (Parlimen),

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen,” jelas kenyataan itu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!