Home Semasa Zahid gesa ahli Parlimen UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Zahid gesa ahli Parlimen UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jul – UMNO meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menggesa Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu dengan menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zahid Hamidi turut menjelaskan, UMNO amat kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.

“Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,

“Tindakan itu jelas beliau bukan sahaja penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan yang membatalkan semua Ordninan Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertungjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!