KUALA LUMPUR, 28 Jul – “UMNO tidak tahu pun Ordinan Darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai lalu,” kata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menerusi hantaran di media sosialnya berkata, UMNO tidak tahu mengenai perkara tersebut, walaupun ada segelintir Ahli Parlimen parti itu berada Kerajaan Persekutuan.
“Ini antara bukti mengapa UMNO tidak boleh dikait dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan,
“Ia kerana Ahli Parlimen dari UMNO terbabit bekerja untuk Kerajaan Persekutuan bernama Perikatan Nasional (PN). Bukan lagi Kerajaan Persekutuan bernama Barisan Nasional (BN) yang tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) angkara fitnah,” katanya.
Katanya, ini ibarat sukan apabila pemain pasukan A diimport dan dibayar bermain untuk pasukan B.
“Jika pasukan B gagal adakah pasukan A juga perlu dipersalahkan?
“Ini dua organisasi yang berbeza. Pengurusan berbeza. Cara dan falsafahnya juga berbeza,” ujarnya. – airtimes.my