KUALA LUMPUR, 27 Jun – Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa kerajaan agar tidak menjadikan doktor-doktor berstatus kontrak di negara ini seperti peralatan pelindungan diri (PPE).
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil serius setiap tuntutan kumpulan pegawai perubatan yang menyuarakan rayuan mereka pada Isnin.
Menurutnya, tindakan nekad kumpulan tersebut ternyata menggambarkan betapa mereka terpaksa memilih jalan akhir agar kebajikan mereka dipelihara.
Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor juga memohon agar pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap peserta protes yang dilaksanakan oleh kumpulan tersebut di beberapa hospital di seluruh negara, semalam.
“Jangan jadikan mereka (doktor kontrak) dalam pandemik seumpama PPE. Digunakan kemudian dibuang seperti gaun PPE diperlakukan begitu,
“Saya ingatkan perkara ini dan ini menjadikan satu noktah penting untuk dibangkitkan kerana kita konsisten dalam memperjuangkan hak mereka serta tindakan sewajarnya akan diambil,
“Jangan ada pihak berkuasa yang mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dengan Hartal Doktor Kontrak ini. Mereka lakukan ini bagi merayu agar kemasylahatan mereka dilindungi,” katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, hari ini.
Semalam, beberapa kumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan melakukan prostes secara serentak di seluruh negara bagi menuntut agar hak mereka diberikan sama rata serta peluang kerjaya yang lebih baik seperti doktor kerajaan tetap. -airtimes.my