KAPIT, 27 Jul – Pegawai perubatan dan paramedik Combat Medic Vaccination Team (CMVT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sanggup meredah sungai serta merentas gunung demi memastikan penduduk pendalaman Sarawak dapat menerima suntikan vaksin COVID-19.
Sel Perhubungan Raya Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, program pada 22 hingga 25 Julai lalu itu adalah kerjasama kerajaan negeri Sarawak bagi membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Tim CMVT ATM yang terdiri daripada 4 pegawai perubatan dan 16 paramedik telah mengharungi perjalanan hampir 8 jam menggunakan kenderaan pacuan 4 roda dari Kapit ke Long Busang.
“4 jam perjalanan pula menggunakan bot dari Long Busang ke Sang Anau bagi memberikan suntikan dos kedua vaksin kepada penduduk di Bukit Mabong melibatkan kawasan Long Busang, Sang Anau dan Long Unai, Belaga,” katanya.
Menurut kenyataan itu, seramai 609 orang penduduk di Long Busang dan 67 orang di Sang Anau telah berjaya melengkapkan 2 dos vaksin. Manakala 151 penduduk Long Unai selesai menerima dos pertama vaksin Sinovac.
Semenjak penubuhan dan aturgerak CMVT ATM pada 21 Jun lalu, tim ini telah berjaya memberikan 6,801 suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach yang terdiri daripada 3,659 bagi dos pertama dan 3,142 bagi dos kedua.
“Program ini dijadualkan akan meneruskan pemberian vaksin dos kedua di Nanga Jagau, Kanowit pada 31 Jul 21 dan di Pasai Siong, Sibu pada 3 hingga 5 Ogos 21 serta bersedia untuk diaturgerak ke lokasi lain sekiranya diperlukan,” ujarnya. – airtimes.my