Home Semasa Batal Ordinan Darurat: Perlu dapat perkenan Agong dan digazetkan – Najib

Batal Ordinan Darurat: Perlu dapat perkenan Agong dan digazetkan – Najib

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjawab 3 persoalan utama secepat mungkin, susulan tindakan pembatalan 6 Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pembatalan Ordinan Darurat ini perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perlu dibentengkan di Dewan Rakyat serta Dewan Negara.

“Pertama, kerajaan PN perlu jawab samada proses undang-undang yang sewajarnya telah diamalkan dalam erti kata apa-apa pembatalan Ordinan Darurat mesti mendapat limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong dan digazetkan, ini tidak diperjelaskan,

“Kedua, sama ada pembatalan Ordinan Darurat ini boleh dibuat secara terkebelakangkan. Sama ada ini boleh dilakukan sebab implikasinya terhadap apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa selepas 21 Julai itu mungkin boleh dipersoalkan ataupun terbatal dari segi undang-undang,

“Ketiga, 6 ordinan itu termasuk ordinan utama iaitu ordinan induk darurat 2021, ini boleh menimbulkan soal kesahihah dari segi undang-undang dan keabsahan kerajaan PN dari 21 Julai hingga 1 Ogos,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang Mesyuarat Khas Parlimen memaklumkan bahawa 6 Ordinan Darurat yang diisytiharkan pada tahun ini telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

“Pada pendapat saya, kenyataan semalam amat mengelirukan rakyat dan dewan, penjelasan yang tepat, terperinci dan sejelas-jelasnya perlu dilakukan sebelum ia menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakyat dan ahli Parlimen,” ujar Najib.

“Kalau pembatalan Ordinan Darurat mesti ikut proses undang-undang yang sewajarnya, maknanya Kabinet menasihatkan YDPA dan baginda memperkenan dan digazetkan dan baru ia lengkap dari segi proses undang-undang.

“Ini pernah dilakukan, zaman saya dahulu pun undang-undang darurat yang kita batalkan mengikut proses ini,

“Ia juga perlu dibentangkan kedua-dua dewan (dewan rakyat dan negara),” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!