TELUK INTAN, 19 Jul – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah lori bersama 2 lelaki yang membawa 95 bungkus daun ketum seberat 475 kilogram (kg) bernilai RM28,500 di Batu 5 Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam, pada Ahad.
PPM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, daun ketum tersebut akan dihantar ke Lembah Klang.
Ketika ditahan, Unit Risikan Marin (URM) mendapati lori tersebut dikesan menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) palsu bagi tujuaan untuk merentas negeri.
“Surat itu diletakkan di hadapan tempat duduk pemandu lori sebagai salah satu taktik mengaburi pihak berkuasa supaya tidak menahan lori tersebut untuk melepasi sempadan dengan muatan yang dibawa,
“Pemeriksaan ke atas lori tiga tan berkenaan menemukan 475kg daun ketum yang disimpan dalam 95 bungkusan plastik hitam pada bahagian belakang kenderaan berat tersebut,
“Jumlah keseluruhan daun ketum dirampas adalah bernilai RM28,500 tidak termasuk lori yang disita,” kata hantaran itu.
Menurut hantaran itu, daun ketum mendapat permintaan tinggi di Lembah Klang menyebabkan mereka mengambil peluang untuk melakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengaut keuntungan.
“Kedua suspek ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(no 3) 2020,” ujarnya. – airtimes.my