KUALA LUMPUR, 17 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan Kuala Lumpur dan Selangor kekal dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di dua wilayah itu telah ditamatkan, semalam.
Beliau dalam satu kenyataan harian PPN berkata, kedua-dua negeri itu masih belum mencapai tahap yang diperlukan untuk beralih ke fasa seterusnya walaupun nilai ambang vaksinasi 10% vaksinasi populasi dewasa telah dicapai.
“2 daripada 3 nilai ambang indikator utama belum dipatuhi. Angka kes baharu dan tahap penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tinggi serta kritikal,” jelasnya.
Beliau menambah, PKPD akan dikenakan ke atas lokaliti yang merekodkan trend peningkatan COVID-19 secara mendadak.
Selangor dan Kuala Lumpur hari ini masih mencatatkan bilangan kes dalam 4 angka. Angka kes tertinggi dalam negara dicatatkan di Selangor iaitu 4,985 kes manakala Kuala Lumpur 1,740 kes. – airtimes.my