JOHOR BAHRU, 14 Jul – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati semua ahli politik terutama di negeri itu supaya melakukan genjatan politik buat sementara dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat.
Tunku Ismail bertitah, kesemua pemimpin politik perlu ketepikan segala perbezaan politik dalam tempoh pandemik COVID-19 pada masa ini.
“Saya ingin memberi pandangan dan nasihat yang ikhlas kepada semua ahli politik di Johor atau mana-mana,
“Anda harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang kini berada di tahap amat membimbangkan. Sekarang bukan masa untuk berpolitik,” titah baginda menerusi hantaran dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor, pada Selasa.
Baginda bertitah, semua ahli politik dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara.
“Tolonglah berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik ini,
“Ketepikan segala perbezaan politik, lakukan genjatan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat. Ini adalah masa untuk berkhidmat dan membantu rakyat,” titah baginda. – airtimes.my