[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=GnbbwMU2PmY[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 14 Jul – Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri (PM) kerana gagal dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Ketua Kordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansur Amer Mohd Isa berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 16 Julai ini untuk Muhyiddin membuat keputusan meletakkan jawatan demi kesejahteraan rakyat.
“Jika PM tidak membuat keputusan, kita (GBMRM) bersama rakyat akan mengangkat bendera putih dan berpakaian serba putih menandakan kita mahu solidariti ini dilaksanakan di seluruh Malaysia,
“Kita mahu Malaysia bersih macam kain putih dan kembali seperti sedia kala,
“Rakyat Malaysia tidak perlu berhimpun atau membuat provokasi, kita tunggu PM akan mengundur diri secara hormat atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan Memorandum Rakyat Malaysia oleh GBMRM, di Pintu 3 Istana Negara, hari ini.
Mustapa Mansur turut menegaskan, lebih ramai rakyat yang akan terkorban akibat wabak pademik ini sekiranya peluang masih diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus menerajui kerajaan.
“Peluang yang telah diberikan oleh rakyat kepada PN lebih dari setahun, rasanya sudah sampai ke tahap dimana kalau diteruskan mudaratnya akan lebih besar,
“Bendera putih sebagai solidariti kita kepada saudara-saudara yang telah meninggal dunia disebabkan COVID-19 atau bunuh diri,
“Siapakah yang paling bertanggungjawab dengan keadaan kes kematian, kes COVID-19 yang meningkat serta rakyat ramai bunuh diri,
“Tak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia sejak Merdeka negara kita dilanda dengan masalah seperti ini,
“Kalau COVID-19 kita faham seluruh dunia, tetapi bunuh diri sangat membimbangkan. Dan kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya prihatin dengan keadaan ini,” tambahnya.
Terdahulu, Mustafa bersama beberapa ahli gabungan itu dilihat tiba di pintu berkenaan pada jam 10.30 pagi, untuk menyerahkan Memorandum Rakyat Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kepada wakil pihak Istana Negara.-airtimes.my
Galeri Gambar: