SUBANG, 9 Jul – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan dengan menghantar pulang seorang pesakit jantung yang selesai menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) ke Kuching, Sarawak, hari ini.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Markas Tentera Udara berkata, selain penerbangan ihsan itu, pesawat A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang turut menghantar bantuan makanan asas ke Labuan.
Menurutnya, pesakit, Jarit anak Luyang, 62, yang mengalami masalah injap jantung telah selamat menjalani pembedahan pada 29 Disember tahun lepas di IJN dan akan menjalani rawatan rehabilitasi di Wad Isolasi Pusat Jantung Sarawak.
“Dalam penerbang itu, pesakit turut ditemani oleh isteri dan 2 orang pegawai perubatan serta seorang jururawat bagi memantau keadaannya,” katanya.
Pesawat ini telah diterbangkan oleh Mejar Phanom A/L Achuan TUDM dan Mejar Mohd Fitrie Idham Kamaruddin TUDM serta dibantu Kapten Mohamad Ridhwan Yahaya TUDM sebagai pembantu juruterbang bersama 5 orang anak kapal telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 6.58 pagi.
Sejurus selesai penghantaran pesakit, pesawat berkenaan meneruskan perjalanan ke Labuan bagi misi penghantaran pek bantuan makanan untuk membantu penduduk yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pek bantuan makanan asas yang mengandungi beras adalah sumbangan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia (KWPM),” ujarnya.
Selain itu, menurut kenyatan tersebut, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu anggota masyarakat yang memerlukan bantuan serta sentiasa bersedia mengaturgerakkan aset-asetnya apabila diperlukan. – airtimes.my