Home Pertahanan dan Keselamatan Cubaan edar rokok seludup bernilai RM2 juta gagal

Cubaan edar rokok seludup bernilai RM2 juta gagal

by Nurulhuda

KUANTAN, 8 Jul – Polis Pahang telah berjaya membuat rampasan rokok putih yang tidak bercukai yang dianggaran nilai RM2 juta dalam pemeriksaan ke atas lori di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, semalam.

Rampasan itu dilakukan pasukan Operasi Kontraban Ibu Pejabat Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas memintas sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan pada 7.30 pagi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan menemukan sejumlah rokok yang tidak mempunyai pengesahan bercukai oleh Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, rokok tersebut ditutupi dengan kotak kosong pelbagai jenama makanan dan barang runcit yang bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap lori tersebut mendapati terdapat sejumlah 254 kotak besar rokok putih berjenama John JDB dan 11 kotak besar rokok putih berjenama John White yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai Kastam,

Ramli berkata, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan dan rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,008,125.00 telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan.

‘Hasil siasatan mendapati rokok diperolehi dari negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan laut. Suspek telah di arahkan membawa barangan dari Segamat ke Kuala Lumpur bagi diedarkan di pasaran tempatan,

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Jika di sabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM 100,000.00 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru kepada semua warga Pahang, berganding bahu bersama-sama PDRM dalam menyalurkan maklumat kes penyeludupan, kontraban dan jenayah rentas sempadan ke pasukan keselamatan untuk tindakan selanjutnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!