SRI AMAN, 8 Jul – Bayi berusia 5 bulan antara 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditahan bersama seorang tekong darat warga tempatan kerana memasuki Sarawak menggunakan jalan tikus, semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, kesemua PATI termasuk tekong berusia 48 tahun itu ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kampung Rapak Jalan Lachau-Serian, Pantu pada jam 11 pagi.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan ketika anggota pasukan sedang menjalankan tugas rondaan dan telah menahan sebuah kereta Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas membuat pemeriksaan didapati seorang lelaki warga tempatan yang juga pemandu, 4 lelaki dan seorang wanita bersama seorang bayi perempuan sebagai penumpang berada dalam kereta berkenaan,
“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai permit pergerakan rentas daerah dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bingkok berkata, mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenaya Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sri Aman untuk tindakan lanjut,” tambahnya. -airtimes.my