Home Ekonomi Bank Negara kekalkan OPR pada 1.75 peratus

Bank Negara kekalkan OPR pada 1.75 peratus

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), hari ini.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu menjelaskan, pemulihan ekonomi global juga bertambah kukuh dan   disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

“Kadar pemulihan negara-negara ini bagaimanapun adalah berbeza. Negara-negara yang mencapai kemajuan   lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin, telah dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negara pulih dengan segera,

“Di beberapa negara maju, sokongan fiskal dan monetari yang besar juga menyokong momentum pemulihan lebih kukuh, meskipun aktiviti di beberapa negara terganggu oleh langkah-langkah pembendungan lebih ketat bagi mengekang penularan semula COVID-19,” katanya.

Menurut BNM, keadaan kewangan kekal menyokong pertumbuhan manakala secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung perkembangan pandemik dan potensi risiko turun naik pasaran kewangan yang ketara.

Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi adalah lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2021 dan berterusan sehingga April sepertimana dipaparkan oleh penunjuk terkini terutama eksport, perbelanjaan runcit dan keadaan pasaran pekerja.

Menurut bank pusat itu, bagaimanapun, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan dan tahap kesan pelaksanaannya terhadap ekonomi amat bergantung ke atas ketegasan serta tempoh terbabit.

Namun, jelasnya, sektor ekonomi perlu yang terus dibenarkan untuk beroperasi walaupun pada kapasiti berkurangan selain kemampuan penyesuaian diri bekerja secara jarak jauh, penggunaan automasi dan pendigitalan akan mengurangkan sebahagian kesan sekatan pergerakan itu.

“Pelbagai pakej sokongan dasar akan meringankan sedikit beban kewangan isi rumah dan perniagaan. Keadaan permintaan luaran yang menggalakkan akan terus mendorong pertumbuhan,” katanya.

BNM berkata, pada masa depan, pengurangan langkah-langkah pembendungan secara beransur-ansur berserta kemajuan pesat program pemberian vaksin dan permintaan luaran yang terus kukuh, akan memberi sokongan terhadap pemulihan pertumbuhan menjelang 2022.

“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan ini terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah dengan ketara akibat terutamanya faktor yang boleh mendorong kelewatan pelonggaran langkah-langkah pembendungan atau pelaksanaan lebih ketat dan pemulihan pertumbuhan global lebih rendah daripada dijangkakan.

“Risiko-risiko ini (sekiranya menjadi kenyataan) boleh memberikan kesan kepada pemulihan pertumbuhan,” demikian menurut BNM.

Bank pusat itu berkata, seperti dijangkakan, inflasi keseluruhan baru-baru ini naik mendadak akibat kesan asas daripada harga bahan api yang rendah pada suku kedua tahun lepas.

“Namun peningkatan ini bersifat sementara dan inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana pada tempoh terdekat apabila kesan asas ini luput,

“Bagi 2021, purata inflasi keseluruhan diunjur lebih menghampiri angka lebih rendah dalam julat unjuran,

“Inflasi asas, sepertimana diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah dengan purata antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus bagi tahun ini dalam keadaan lebihan kapasiti berterusan dalam ekonomi. Namun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga komoditi global,” katanya.

BNM berkata, MPC turut menyifatkan pendirian dasar monetari sebagai wajar dan akomodatif.

Selain itu, langkah-langkah fiskal dan kewangan juga akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan terhadap kegiatan ekonomi.

“Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya ke atas prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, BNM turut menegaskan bahawa ia terus komited untuk memanfaatkan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan bagi menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!