KUALA LUMPUR, 6 Jul – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbuatan veteran DAP, Lim Kit Siang amat biadap dan kurang ajar apabila mempermainkan kesucian nama Allah bagi mengaitkan kegagalan kerajaan hari ini dalam mengurus pandemik COVID-19.
Beliau berkata, perbuatan ini satu bentuk penghinaan kepada agama Islam dan mesti diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
“Saya sudah mengarahkan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen dan pemimpin DAP ini,
“DAP seharusnya belajar bahawa sikap chauvinistik dan rasis mereka yang tidak pernah berubah dengan sewenangnya meremehkan kesucian Islam seperti inilah yang menyebabkan kerajaan PH hanya bertahan 22 bulan,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Menurutnya, inilah juga sebab UMNO satu-satunya parti yang tidak pernah ada pengalaman menjalinkan kerjasama politik bahkan terus mempertahankan mandat perwakilan akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO lalu tidak sesekali bersetuju untuk berpakat dengan DAP.
“Itupun dalam diam-diam, pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional mahu menandatangani ‘Confidence and Supply Agreement (CSA)’ dengan DAP bagi membolehkan Perdana Menteri terus dapat mandat untuk berkuasa,
“Jika ini berlaku, UMNO seharusnya tidak berkompromi dan rakan Muafakat Nasional PAS juga harus menyatakan pendiriannya,” jelasnya. – airtimes.my