Home Semasa Isu Musang King: PGA dikerah ke Raub bantu jaga ketenteraman awam

Isu Musang King: PGA dikerah ke Raub bantu jaga ketenteraman awam

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=XX6UDBIpL1U[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 6 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub, Pahang bagi memastikan isu ketenteraman awam ekoran isu pekebun durian Musang King dapat diatasi dengan baik.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.

Beliau berkata, isu mengenai pencerobohan oleh pekebun durian itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Justeru, saya menyeru semua pihak yang terbabit untuk mematuhi peraturan yang sedia ada,

“Tentu sekali ada dari pihak mereka yang tidak berpuas hati dan ketidakpuasan hati ini hendaklah disalurkan dengan cara yang betul,

“Jadi pihak polis tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang mahu mengganggu gugat kelancaran tugas pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Flat Seri Sabah 3A yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dan Timbalannya Datuk Yong Lei Choo.

Semalam, Mahkamah Majistret Raub, membenarkan 18 pekebun durian Musang King direman selama 2 hari untuk siasatan lanjut, sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang turut ditahan dilepaskan dengan ikat jamin kira-kira jam 12 tengah malam.

Semua mereka ditahan Ahad lalu, selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan JPNP ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula Ahad hingga 2 Ogos ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk PDRM.

Pada masa yang sama, Acryl berkata, pihaknya telah membuka kertas dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pemimpin parti politik yang merentas daerah dan negeri dalam isu tersebut.

Beliau berkata tindakan sewajarkan akan dikenakan jika terbukti berlaku pelanggaran SOP Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!