KUALA LUMPUR, 6 Jul – Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan) menerima sebanyak 93,600 lagi dos vaksin COVID-19 bagi fasa kedua, hari ini.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, peruntukkan sebanyak 93,600 dos vaksin tersebut sebagai sokongan dalam menjayakan Program Vaksinasi Peringkat ATM, sekaligus membantu negara mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurutnya, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 1 juta dos sumbangan Amerika Syarikat kepada Malaysia yang diterima semalam.
“Vaksin berkenaan telah dihantar terus ke 93 Depot Pusat Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera (93 DPP AT) setelah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, semalam,
“93 DPP AT merupakan salah satu daripada 4 buah Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang diselia oleh ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT),” kata pihak ATM.
Proses penerimaan dos vaksin tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Nur Hidayah Abd Rahim pagi tadi.
“Kesemua dos vaksin berkenaan yang didatangkan dengan 16 buah thermal shipper telah selamat tiba dan disimpan di fasiliti penyimpanan perubatan ATM tersebut,
“Dalam penghantaran ini juga, sejumlah 46,800 dos vaksin telah diterima oleh Hospital Ampang yang diagihkan melalui 93 DPP AT,” tambahnya.
Turut hadir menyaksikan penerimaan tersebut ialah wakil daripada Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan Jabatan Farmasi, Hospital Ampang.
Sebelum ini, ATM telah menerima sebanyak 4,680 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada 22 Februari lalu untuk dibekalkan kepada 2,340 petugas kesihatan ATM.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19, Brigedier Jeneral Datuk (Dr) Rosman Ab Rahman berkata, seramai 4,670 petugas kesihatan ATM di seluruh negara akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin COVID-19 apabila sejumlah 10,530 dos vaksin berkenaan diterima pasukan keselamatan itu bagi peringkat pertama bermula Februari lalu.
“Keutamaan suntikan juga akan diberikan kepada anggota ATM yang bertugas di zon merah dalam kawasan penularan COVID-19; anggota barisan hadapan termasuk Operasi Benteng (Op Benteng); kawalan sempadan negara serta sekatan jalan raya,” ujarnya.