Home Pertahanan dan Keselamatan ATM bantu PDRM kuatkuasa PKPD di 14 lokasi Kuala Lumpur

ATM bantu PDRM kuatkuasa PKPD di 14 lokasi Kuala Lumpur

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di beberapa lokasi di ibu kota bermula tengah malam tadi.

PKPD ini melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak; PPR Batu Muda; Flat Seksyen 2 Wangsa Maju; Flat Seksyen 1 Wangsa Maju; Kampung Padang Balang dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2).

“Selain itu, Flat Sri Sabah; Kampung Puah; PPR Kampung Baru Air Panas; Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima); Kampung Batu Muda; PPR Kerinchi; Bandar Baru Sentul serta Taman Ikan Emas turut dikenakan PKPD dalam tempoh yang sama.

Anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) memasang pagar kawat duri di PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak yang dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi. Foto: AirTimes

Tinjauan Air Times malam tadi mendapati anggota tentera dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) telah memasang pagar kawat duri di beberapa lokasi perumahan yang menjadi kes indeks COVID-19.

 

Selain itu, anggota tentera turut membantu pihak polis dalam penutupan jalan utama dan kawalan serta pemerhatian di kawasan perumahan yang dikenakan PKPD.

Anggota 1 RRD turut membantu pihak polis dalam penutupan jalan utama dan kawalan serta pemerhatian di PPR Sri Semarak yang dikenakan PKPD. Foto: AirTimes

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, PKPD di 14 lokaliti sekitar Kuala Lumpur, menggunakan kaedah sama seperti PKPD sebelum ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan PKPD di sekitar Kuala Lumpur akan menggunakan pemasangan kawat duri dan penghadang jalan, berbeza dengan PKPD di Selangor yang hanya menumpukan penugasan sekatan jalan raya (SJR).

Anggota tentera dan polis turut membuat rondaaan dan kawalan di PPR Kampung Baru Air Panas yang dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi. Foto: AirTimes

“Kami (pihak polis) telah memohon kepada ATM untuk membantu memasang pagar kawat duri di 14 kawasan tersebut, di mana ia lebih kecil berbanding di Selangor yang mempunyai kawasan kawalan yang besar di tempat yang dilaksanakan PKPD,

“Sekiranya barb wire (kawat duri) tidak mencukupi, kami akan mengawasi sesebuah lokaliti berkenaan menggunakan penghadang jalan,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Anggota DBKL dan PDRM melaksanakan penutupan Jalan Ikan Mas, Cheras bagi penguatkuasaan PKPD di Perumahan Awam Seri Sabah, Kuala Lumpur yang bermula tengah malam tadi. Foto:AirTimes

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD dilaksanakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 sehingga 16 Julai 2021.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan trend jangkitan yang tinggi di kedua-dua lokaliti di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada Khamis.

Selangor melaporkan purata kes harian COVID-19 antara 1,800 ke 1,900 kes sehari. Manakala di Kuala Lumpur purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.

Sehingga semalam, KKM telah mengesahkan sebanyak 6,982 kes baharu COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,907 kes dan Kuala Lumpur mencatatkan 637 kes pada hari ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!