Home PolitikPakatan Harapan Sekiranya Muhyiddin masih berdiam diri, PH gesa MP ke Parlimen 19 Julai

Sekiranya Muhyiddin masih berdiam diri, PH gesa MP ke Parlimen 19 Julai

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jul – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa semua ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membuat sebarang pengumuman mengenai sidang Parlimen.

PH dalam kenyataan berkata, pihaknya memberikan tempoh selewat-lewatnya sehingga 5 Julai kepada Muhyiddin untuk menjawab persoalan berkaitan pembukaan sidang Parlimen diadakan.

“Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada pembangkang mahupun kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka berkata, tindakan Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah penderhakaan bukan sahaja kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi juga terhadap Raja-Raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.

“PH telah meneliti dan memandang serius kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Jun 2021 yang merupakan kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang,

“Majlis Presiden turut meneliti kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun 2021, bahawa satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada Perdana Menteri,

“Namun kami kesal bahawa sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,

“Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan,” tambahnya.

Menurutnya, sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021 ini mesti membahaskan krisis pandemik COVID-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda.

“Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak COVID-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat,

“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik,” jelasnya kenyataan itu.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!