KUALA LUMPUR, 1 Jul – Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 sehingga 16 Julai 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan trend jangkitan yang tinggi di kedua-dua lokaliti di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.
Menurutnya, Selangor melaporkan purata kes harian COVID-19 antara 1,800 ke 1,900. Manakala di Kuala Lumpur purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.
“Kesemua daerah di Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan insiden kes COVID-19 melebihi 12.1 /100,000 penduduk,
“Data unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kedua-dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan,
“Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan 3 varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan, antara daerah yang terlibat PKPD di Selangor ialah Daerah Petaling merangkumi mukim Petaling, Damansara, Sungai Buloh dan Bukit Raja.
“Bagi Daerah Hulu Langat pula, ia melibatkan Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih dan Beranan, manakala Sepang (Dengkil, Labu dan Sepang),
“Daerah Gombak melibatkan Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang dan Kuang; Kuala Langat (Tanjung 12 (1); Tanjung 12 (2); Teluk Panglima Garang; Morib; Bandar; Jugra dan Batu); Klang (Kapar dan Klang); Kuala Selangor (Ijok; Bestari Jaya; Jeram); Hulu Selangor (Serendah; Rasa; Ulu Yam dan Batang Kali),” jelasnya.
Manakala bagi Kuala Lumpur, Ismail Sabri menjelaskan PKPD dikenakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda; Flat Seksyen 2 Wangsa Maju; Flat Seksyen 1 Wangsa Maju; Kampung Padang Balang dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2)
“Selain itu, Flat Sri Sabah; Kampung Puah; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas; Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima); Kampung Batu Muda; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi; Bandar Baru Sentul serta Taman Ikan Emas turut dikenakan PKPD dalam tempoh yang sama,” tambahnya.
Ismail Sabri menjelaskan, dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). -airtimes.my