KOTA KINABALU, 1 Jul – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya jangan bersikap angkuh seperti tahu semua perkara dan perlu segera mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan sekali lagi oleh Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan PN perlu ambil iktibar walaupun sebenarnya masih lagi tidak pasti dengan banyak perkara.
“Dalam keadaan dunia dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan bukan hanya masalah ekonomi yang tidak menentu,
“Bahkan kehilangan nyawa yang begitu banyak akibat pandemik COVID-19 ini amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, setelah lebih dua minggu dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, kelmarin sekali lagi baginda Yang Di-Pertuan Agong menzahirkan dan menitahkan supaya persidangan parlimen diadakan segera.
“Apa yang terjadi pada hari ini adalah menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku, ramai rakyat hilang punca pendapatan, syarikat-syarikat tidak dapat meneruskan operasi dan terpaksa buang pekerja, peniaga-peniaga kecil banyak yang gulung tikar,
“Banyak keluarga terputus bekalan makanan, anak-anak kecil tiada susu, ramai yang tidak dapat mengadakan bekalan asas makanan untuk seisi keluarga, kesempitan hidup semakin parah dan lain-lain situasi yang tidak menyebelahi kebanyakkan rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, beliau bimbang sekiranya situasi dan keadaan ini tidak kita atasi segera, akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.
“Malaysia yang mengamalkan pemerintahan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan ini perlu kita jaga, hormati dan pertahankan,
“Selaras dengan titah Agong yang mahu persidangan Parlimen diadakan segera menunjukkan bahawa baginda sangat prihatin dan memahami kesusahan yang dihadapi rakyat,
“Sudah tentu banyak perkara dapat dibincangkan, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutama perkara-perkara berkaitan Ordinan Darurat COVID-19.
“Sekali lagi saya menyatakan bahawa titah Agong supaya Parlimen perlu bersidang segera diambil perhatian oleh kerajaan PN, khususnya pentadbiran Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” jelasnya. – airtimes.my