KUALA LUMPUR, 30 Jun – Parlimen telah kemuka cadangan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan satu persidangan khas sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Perkara tersebut dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini.
“Kami sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengadakan majlis menghadap pada Selasa yang turut dihadiri timbalan Yang di-Pertua kedua-dua dewan,
“Pada majlis tersebut, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini,
“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” kata kenyataan itu. – airtimes.my