Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 13 nelayan Vietnam rompak khazanah negara

APMM tahan 13 nelayan Vietnam rompak khazanah negara

by Nurulhuda

MIRI, 30 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri telah menahan 2 buah bot dan 13 nelayan warganegara Vietnam pada jarak lebih kurang 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri, petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, pada lebih kurang jam 1.00 petang kelmarin, 2 buah bot nelayan mencurigakan telah dikesan oleh KM STAPA yang sedang menjalankan rondaan rutin di sekitar perairan Miri.

Beliau berkata, berdasarkan struktur fizikal, kedua-dua bot tersebut disyaki bot nelayan asing Vietnam, namun salah sebuah bot tersebut mengibarkan bendera Malaysia sebagai cubaan untuk mengaburi pihak penguat kuasa.

“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, kedua-dua bot tersebut disyaki telah bertindak memotong dan membuang peralatan menangkap ikan ke laut sebagai usaha untuk melupuskan barang bukti serta cuba melarikan diri dari diperiksa,

“Pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 30 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” jelasnya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.

Md. Fauzi menjelaskan, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Manakala 13 kru termasuk 2 tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,

“Kedua-dua bot bersama 13 kru beserta 2 tekong, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 23,000 liter serta hasil tangkapan sekitar satu tan metrik ikan campur dirampas dan telah diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat,” tambahnya.

Menurutnya, nillai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!