SEOUL, 29 Jun – Korea Selatan memutuskan untuk mencipta sistem pemintas yang setaraf dengan Iron Dome buatan Israel.
Sistem pertahanan tersebut diperlukan untuk melindungi bandar Seoul dari ancaman artileri dan roket dari Korea Utara.
Media Korea Selatan, Chosun menyatakan Kementerian Pertahanan Korea Selatan telah memperuntukkan sebanyak US$2.5 bilion.
“Sistem pemintas ini akan mengadaptasi teknologi pemintas Haegung dan juga Amerika Syarikat,
“Korea Selatan tidak akan mengimport Iron Dome dari Israel kerana situasi dan ancaman antara kedua-dua negara aadalah berbeza,
“Oleh yang demikian, projek sebegini dilancarkan bagi memenuhi keperluan tersebut dan dijangka akan siap sekitar tahun 2035,” kata laporan itu.
Korea Utara telah menempatkan 1,200 unit artileri berhampiran sempadan dan dilaporkan 340 daripadanya telah dihalakan ke arah Seoul.
Pada 23 November 2010, Pulau Yeonpyeong di Incheon telah diserang oleh Korea Utara dengan menggunakan tembakan artileri dan roket.
Serangan mengejut tersebut telah mengorbankan 2 anggota tentera dan 2 penduduk awam.
Iron Dome merupakan sistem pertahanan udara aras rendah yang dihasilkan oleh syarikat pertahanan Israel, Rafael dan Israel Aerospace Industries. – airtimes.my