Home Semasa Agong ulangi Parlimen perlu bersidang secepat mungkin

Agong ulangi Parlimen perlu bersidang secepat mungkin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Menurutnya, Baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, awal hari ini.

“Susulan sesi menghadap ini dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun, 2021, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia,

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan, dapat dibentangkan di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3)Perlembagaan Persekutuan,

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Baginda turut berpandangan bahawa semua jawatankuasa pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab, khususnya dalam menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” jelas kenyataan itu.

Turut hadir dalam pertemuan yang bermula jam 11 pagi itu ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Mohamad Ali Mohamad kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dan Azalina Othman Said.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan secepat mungkin, serta menyeru rakyat untuk mendoakan kesejahteraan negara dan agar wabak COVID-19 dapat dibendung segera.

Pada 16 Jun, selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu, Agong bertitah agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

Rais dan Azhar pada 25 Jun telah mengeluarkan kenyataan bahawa Parlimen sedang mengkaji persidangan secara hibrid dan memerlukan masa untuk membuat persediaan.

Dijangka, parlimen secara hibrid dapat mula bersidang pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya awal September depan.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!