Home Pertahanan dan Keselamatan 12 PATI Indonesia termasuk 4 kanak-kanak ditahan di Serian

12 PATI Indonesia termasuk 4 kanak-kanak ditahan di Serian

by Nurulhuda

SERIAN, 29 Jun – Serami 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 4 kanak-kanak warga Indonesia ditahan dalam 2 operasi yang berasingan oleh anggota Batalion 11, Pasukan Gerakan AM (PGA), Batu Kawa kerana memasuki Sarawak secara haram, semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, anggota Batalion 11 PGA turut menahan 3 orang warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat ketika sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan tersebut.

Beliau berkata, dalam tangkapan pertama, anggota PGA telah menahan 2 buah kereta di tepi jalan berhampiran Kampung Tebekang Dayak Serian pada jam 5 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan pada 2 kenderaan itu, terdapat 11 warga Indonesia berada di dalam kenderaan dan siasatan mendapati semua penumpang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Warga Indonesia terdiri daripada 3 lelaki dan 4 wanita berusia 22 hingga 43 tahun termasuk 4 kanak-kanak ditahan mengikut Akta Imigresen kerana masuk ke Sarawak tanpa dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Aswandy berkata, 2 orang warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat yang berumur 34 dan 37 turut ditahan.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan akan ditahan reman di bawah undang-undang SOSMA bagi membantu siasatan,

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka masuk ke Sarawak melalui lorong tikus di kawasan Malikin, Serian untuk ke Bintulu,” tambahnya.

Sementara kejayaan kedua pula telah dibuat di kawasan Ladang Sawit Tetangga Akrab Serian iaitu sekitar jam 7.40 malam.

Pasukan operasi ketika itu bertindak menahan sebuah kereta dan hasil pemeriksaan mendapati ia dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun disyaki tekong darat.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga negara Indonesia turut berada di dalam kereta tersebut dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Susulan itu, kesemua 3 tekong darat terbabit disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala kesemua 12 PATI pula disiasat di bawah Akta Imigresen,” tegas Aswandy.

Dalam masa yang sama, Aswandy menjelaskan operasi pembanterasan kemasukan warga asing terus diperketatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi mengawal kemasukan secara haram demi menjaga keselamatan negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!