KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pemuda UMNO menegaskan pelaksanaan Total Lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 setelah 28 hari hanya sia-sia.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kini rakyat dipaksa lagi untuk berkurung bagi tempoh yang belum dapat dipastikan kerana kaedah baru di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bergantung kepada angka purata kes baharu COVID-19 hendaklah di bawah 4,000 kes selama 7 hari berturut-turut.
“Dengan kata lain kalau angka kes baharu masih di atas 4,000 maka rakyat mesti terus berkurung di rumah,
“Persoalannya apakah jaminan angka ini boleh berubah ke paras bawah 4,000 jika kilang-kilang penyumbang utama penularan virus terus dibenarkan beroperasi,
“Bahkan angka syarikat yang diluluskan untuk beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga bertambah saban hari,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.
Beliau berkata sejak awal PKP 3.0, Pemuda UMNO menegaskan jika Total Lockdown hendak dibuat bagi tempoh 14 hingga 21 hari sebagaimana hayat inkubasi virus, maka buatlah betul-betul menyeluruh.
“Rakyat rela berkurung tetapi kerajaan juga harus salurkan bantuan dan buatlah lockdown yang betul-betul,
“Bahkan tagline yang kami gunakan pada waktu itu biar #SusahSekaliBukanBerkalikali,” ujarnya.
Tambahnya, kini dengan angka korban mencecah 4,944 nyawa, lebih 734,048 orang terjangkit, 32 juta rakyat Malaysia terseksa lebih 6 bulan lamanya dan nilai ekonomi ratusan bilion ringgit lesap secara sia-sia, apakah kerajaan masih mahu ulangi dan guna pendekatan sama?
“Ada pepatah Inggeris yang menyebutkan: The Definition Of Insanity Is Doing The Same Thing Over And Over And Expecting Different Results” (kegilaan ialah apabila melakukan sesuatu berulang kali tetapi mengharapkan kesan yang berbeza),” tegasnya. – airtimes.my