Home Semasa Taman Murni, Sepang antara 4 lokaliti di Selangor dikenakan PKPD mulai Rabu ini

Taman Murni, Sepang antara 4 lokaliti di Selangor dikenakan PKPD mulai Rabu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di 4 lokaliti di Selangor berkuat kuasa Rabu ini hingga 13 Julai depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 4 lokaliti tersebut ialah CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang; Taman Murni, Sepang; Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang, Selangor.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut dilakukan selepas laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan peningkatan kes harian COVID-19 dikesan mendadak dalam masa singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti di lokaliti berkenaan.

Beliau berkata, di CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, sebanyak 57 kes positif COVID-19 telah direkodkan sejak 14 Jun lalu.

“Di Taman Murni, Sepang, KKM mendapati berlaku peningkatan apabila sebanyak 36 kes telah dikesan dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,

“Sebanyak 205 kes telah dikesan di Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di mana penularan wabak tersebut masih berlaku dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau berkata, KKM telah mengesahkan kes positif COVID-19 terus meningkat dalam tempoh 12 hari apabila sebanyak 156 kes dikesan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang, Selangor.
Sehubungan itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kesemua lokaliti tersebut berkuat kuasa 30 Jun sehingga 13 Julai 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memastikan pekerja dan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti di luar,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!