KUALA LUMPUR, 28 Jun – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 untuk tempoh 5 bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.
“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian,
“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Beliau berkata, hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran. – airtimes.my