Home Semasa Ubah suai kereta, sorok dadah bernilai RM6.4 juta

Ubah suai kereta, sorok dadah bernilai RM6.4 juta

by Nurulhuda

IPOH – Taktik 2 lelaki menyembunyikan dadah bernilai lebih RM6.4 juta yang disimpan dalam but kereta terbongkar selepas gagal melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, anggota polis Perak telah menahan kenderaan dinaiki suspek yang berusia 41 dan 47 tahun itu setelah melihat mereka dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 7.30 petang.

Mior Faridalathrash berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 123 bungkusan teh yang mengandungi 128.78 kilogram dadah jenis methamphetamine,

“Mereka menyimpan 117 bungkusan di ruang but yang diubahsuai manakala 6 bungkusan lagi di ruang penyimpanan tayar tambahan,

“Secara kasarnya ia tidak kelihatan sehingga anggota melakukan pemeriksaan teliti pada kenderaan terbabit dan didapati dadah berkenaan disimpan dalam petak khas di ruangan itu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, suspek turut bertindak nekad merentas negeri menggunakan alasan urusan perniagaan dengan mengemukakan borang kebenaran yang sudah tamat tempoh.

“Polis percaya bekalan dadah berkenaan bukanlah untuk pasaran di Perak sebaliknya untuk negeri-negeri di utara,

“Mereka ditahan dan kenderaan terbabit disita untuk siasatan lanjut. Turut dirampas sejumlah wang tunai bernilai RM3,390,” tambahnya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama 7 hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung.

Dalam masa yang sama, Mior Faridalathrash turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah yang berlaku kepada pihak polis dengan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!