Home Pertahanan dan Keselamatan Special Task Force untuk pantau kilang tidak diperlukan

Special Task Force untuk pantau kilang tidak diperlukan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Special Task Force untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap kilang serta premis perniagaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi perlu diwujudkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana sudah wujud Task Force Operasi Pematuhan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas hampir sama untuk memantau pematuhan SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan.

“Sidang Khas Majlis Keselamatn Negara (MKN) berpandangan tidak perlu diwujudkan Special Task Force lagi. Cukup dengan Task Force Operasi Pematuhan PDRM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sahaja,” jelasnya dalam kenayataan mengenai perkembangan PKP, hari ini.

Ismail Sabri berkata, terdapat kekeliruan mengenai peranan pasukan keselamatan terutama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi yang diumumkan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, terdapat 2 pembahagian tugas iaitu National Task Force yang diketuai oleh ATM menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang melibatkan kawalan sempadan negara bersama-sama 11 agensi lain termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain lain.

Manakala, bagi Task Force Operasi Pematuhan pula diketuai PDRM serta dibantu oleh ATM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP sama ada melalui sekatan jalan raya (SJR) atau pemeriksaan di tempat-tempat awam.

“Kedua-dua Task Force ini diwujudkan sejak PKP 1.0 lagi. Setelah PKP 3.0 dilaksanakan, Task Force Operasi Pematuhan PDRM diperluaskan kepada pemeriksaan terhadap kilang-kilang yang melanggar arahan dan SOP,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap semua pihak faham setiap pembahagian tugas dan gerak kerja yang melibatkan ATM dan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!