KUALA LUMPUR, 27 Jun – Pakatan Harapan (PH) menegaskan kenyataan Peguam Negara berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam proses pembukaan Parlimen sebagai melampau batas dan satu penderhakaan kepada Baginda.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama berkata, kenyataan Peguam Negara ini, terutama dalam konteks sekarang, telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.
Menurut mereka, ia telah mengenepikan semangat Perlembagaan, dan memberi gambaran Peguam Negara telah mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti dengan serius kenyataan Peguam Negara 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Jemaah Menteri,
“Pada ketika negara berhadapan krisis pandemik COVID-19, begitu ramai yang hilang nyawa dan pekerjaan, ekonomi kekal suram, serta kerajaan yang tidak stabil lagi tiada keabsahan, rakyat menaruh harapan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan pandangan yang mampu mencari penyelesaian kepada krisis ini,
“Inilah yang rakyat lihat apabila Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengeluarkan kenyataan media pada 16 Jun lalu, termasuk dalam aspek Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri perlu bersidang secepat mungkin,”jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut ditanda tangani oleh Presiden Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
Tegas mereka, Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya, dan bukan mengumumkan pandangan beliau secara terbuka seperti yang telah dibuat ini.
“Kenyataan Peguam Negara juga melanggar kebiasaan kerana Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang,
“Maka kenyataan ini juga satu bentuk “pelanggaran kerahsiaan” (breach of confidentiality) di antara peguam dan anak guam. Dengan pelanggaran ini, beliau tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan Peguam Negara,” tambah kenyataan itu.
Oleh itu, PH menegaskan bahawa kenyataan Peguam Negara ini sebagai satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dioecat segera.
Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan berkata, bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.
Beliau menjelaskan, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18,
“Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya. -airtimes.my