Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD MAHAMIRU selamatkan nelayan tempatan terjatuh laut

KD MAHAMIRU selamatkan nelayan tempatan terjatuh laut

by Nurulhuda

LUMUT, 27 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menyelamatkan seorang nelayan tempatan yang dipercayai terjatuh ketika melaksanakan aktiviti menangkap ikan di waktu malam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, insiden berlaku semasa KD MAHAMIRU sedang melaksanakan rondaan Selat Melaka dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan negara.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat daripada sebuah kapal dagang MV SK Splendor yang melalui kawasan tersebut.

“Hasil siasatan lanjut, mangsa tersebut merupakan awak-awak bot nelayan tempatan yang terjatuh ketika melaksanakan aktiviti penangkapan ikan di waktu malam,

“Menurut jurucakap daripada Pusat Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, insiden berlaku semasa keadaan laut bergelora,” jelas kenyataan itu malam tadi.

Kemudian, mangsa telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan selanjutnya.

Pihak TLDM mengingatkan agar nelayan tempatan agar meningkatkan tahap keselamatan ketika menjalankan aktiviti perikanan di laut.

Dalam masa yang sama, TLDM turut mengucapkan terima kasih kepada semua warga komuniti maritim, yang sentiasa peka dengan situasi dan berkongsi maklumat terhadap aktiviti-aktiviti di laut dengan agensi serta penguatkuasa maritim negara.

Menurutnya, Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) serta Inisiatif Berkongsi Maklumat (IBM) banyak membantu TLDM serta agensi penguat kuasa yang lain di dalam pelaksanaan Op Benteng Laut.

Katanya, sepanjang bulan Mei 2021, TLDM bersama agensi keselamatan maritim seperti APMM, Pasukan Polis Marin (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya melaksanakan 2,057 penglihatan, 630 pemeriksaan dan 25 penangkapan atas pelbagai kesalahan di bawah pelbagai akta di kawasan Op Benteng dari Perairan Selat Melaka hingga ke Laut China Selatan.

Antara akta itu ialah Akta Perikanan, Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Kerjasama bersepadu di antara agensi maritim negara ini juga telah membolehkan kapal-kapal TLDM yang melaksanakan Op Benteng Laut di sempadan perairan negara Selat Melaka melaksanakan 32 pemeriksaan serta mengusir 12 buah kontak yang mencurigakan sepanjang minggu ini,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!