KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid mencadangkan persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan akhir bulan Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September ini.
Jawatan khas yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama menjangkakan bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir bulan Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat terlebih dahulu.
“Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi perjalanan persidangan hibrid dan mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid yang melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara serta selebihnya mempunyai pilihan untuk hadir secara fizikal atau maya,
“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid ini dapat disediakan seberapa segera yang mungkin,” menurut kenyataan itu
Menurutnya, satu Sidang Khas Parlimen dicadangkan diadakan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan,
“Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas serta juga Ahli-ahli Parlimen,
“Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir bulan Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021,” tambah kenyataan itu.-airtimes.