Home Semasa Kerajaan tiada perancangan jual LTSAAS

Kerajaan tiada perancangan jual LTSAAS

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 25 Jun – Kerajaan tiada perancangan untuk menjual hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, hartanah lapangan terbang adalah dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

“Sehubungan itu, MoF juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini,

“LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada tahun 2009,

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut,” katanya.

Menurut MoF, setakat ini MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub- leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,

“Sehubungan itu, MoF ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini,

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkata, setakat ini tidak ada sebarang keputusan dibuat kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Hak pengoperasian kekal di bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada MAHB untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal LTSAAS sehingga tahun 2034 dan 2067,

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan kabinet pada 2 Mac 2005. Tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!