Home PolitikBarisan Nasional Surat Hishammuddin jadi PM ke-9, tubuh kerajaan baharu palsu

Surat Hishammuddin jadi PM ke-9, tubuh kerajaan baharu palsu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Surat yang tersebar di media sosial mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu dan menjadi Perdana Menteri ke-9 adalah palsu.

Unit Komunikasi Hishammuddin dalam ciapan di twitter menyatakan, surat yang tersebar itu merupakan satu provokasi yang berniat jahat.

“Surat yang tersebar yang dikaitkan dengan DS @HishammuddinH2O adalah palsu dan tidak benar,

“Ini hanyalah provokasi politik yang berniat jahat, mengadakan fitnah untuk mengelirukan umum,” kata ciapan itu.

Surat yang bertarikh pada 22 Jun 2021 itu ditandatangi oleh Hishammuddin dan telah diterima oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara pada 23 Jun 2021.

Kandungan surat itu mendakwa, Hishammuddin ingin memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah secara sebulat suara memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau untuk memimpin kerajaan baharu.

Surat itu juga mendakwa, kononnya keputusan untuk mencalonkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri yang baharu bagi meneruskan kesinambungan kerajaan Perikitan Nasional (PN).

Hishammuddin juga kononnya akan membentuk Majlis Penasihat Perdana Menteri yang dianggotai Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menasihati beliau sebagai Perdana Menteri ke-9.

Pada masa sama, kandungan surat itu juga melampirkan barisan Jemaah Kabinet yang baharu antaranya mencadangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri 2 merangkap Menteri Pertahanan.

Antara senarai lain adalah Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Datuk Seri Shafie Apdal ((Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah) dan Syed Saddiq Syed Abudl Rahman (Menteri Industri dan Ekonomi Kreatif). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!