KUALA LUMPUR, 23 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar sesetenggah pihak yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan adalah suatu kesilapan besar.
Beliau berkata, mereka yang berkata demikian sedang bermimpi di siang hari dengan mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.
“UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah,
“Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat,
“Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kepada rakan-rakan UMNO bahawa parti ini dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu.
“UMNO dilahirkan di Istana Melayu dan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946. UMNO mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu,
“UMNO mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu. UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama,
“UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam. Kerana itu UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas,” ujarnya.
Namun, UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu.
“Sejarah berpuluh tahun UMNO mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti,” tegasnya.
Tegasnya, UMNO akan kembali berjuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh,
“Perjuangan UMNO pada PRU-15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan. Insya-Allah rakyat bersama UMNO kerana UMNO akan terus bersama rakyat,” jelasnya lagi. – airtimes.my