JOHOR BAHRU, 23 Jun – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini memperkenan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bersidang pada 12 Ogos ini.
Sultan Ibrahim juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
“Saya mahu semua Ahli DUN bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri dengan sebaiknya,
“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus COVID-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.
Baginda bertitah demikian selepas menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Ir Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin pagi tadi.
Sultan Ibrahim turut menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu, bagi mendapatkan laporan keadaan pendemik COVID-19 di Johor. -airtimes.my